Jadual Bayaran Bantuan Awal Persekolahan Telah Diumumkan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan bahawa Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2026 akan mula diagihkan bermula pada 11 Januari 2026 (Ahad).

Bagi sesi persekolahan 2026, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM800 juta di bawah Belanjawan 2026 untuk pelaksanaan bantuan ini, yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta murid sekolah di seluruh negara termasuk pelajar Tingkatan 6.

Selain Bantuan Awal Persekolahan, kerajaan turut memperuntukkan beberapa bantuan pendidikan lain seperti Biasiswa Kecil Persekutuan (RM150 juta), Rancangan Makanan Tambahan – RMT (RM870 juta), serta Bantuan Am Persekolahan yang kini diperluaskan sehingga Tingkatan 5 dengan peruntukan berjumlah RM180 juta.

Untuk artikel kali ini, kami kongsikan perincian lengkap berkaitan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2026 untuk rujukan ibu bapa dan penjaga.

Pengenalan Bantuan Awal Persekolahan (BAP)

Bantuan Awal Persekolahan (BAP) mula diperkenalkan pada tahun 2012 dengan tujuan utama untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan anak-anak yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga, khususnya pada awal tahun persekolahan.

Dalam Bajet 2023, kerajaan telah mengumumkan pemberian BAP sebanyak RM150 kepada semua murid tanpa mengira pendapatan ibu bapa.

Dasar ini diteruskan oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dan kekal dilaksanakan bagi sesi persekolahan 2026.

Bagi tahun 2026, Bantuan Awal Persekolahan diberikan kepada murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau yang setaraf dengannya tanpa mengambil kira tahap pendapatan ibu bapa.

Selain itu, kerajaan turut memperluas Bantuan Am Persekolahan kepada murid miskin sehingga Tingkatan 5, berbanding hanya sehingga Tingkatan 3 sebelum ini, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM180 juta.

Dalam masa sama, sebanyak RM150 juta turut diperuntukkan bagi Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) untuk membantu anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan meneruskan persekolahan.

Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dalam memperkukuh akses pendidikan yang adil, menyeluruh dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat.

Selain itu, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM870 juta yang akan memanfaatkan kira-kira 870,000 murid di seluruh negara bagi memastikan mereka menerima makanan berkhasiat semasa bersekolah.

Kadar Bantuan Awal Persekolahan 2026

Murid yang layak akan menerima Bantuan Awal Persekolahan sebanyak:

  • RM150.00 bagi seorang murid
  • Dibayar secara sekaligus (one-off)

Peluasan Bantuan Awal Persekolahan kepada pelajar Tingkatan 6 dengan kadar RM150 seorang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 pelajar dengan kos keseluruhan sebanyak RM15 juta.

Pemberian BAP kepada pelajar Tingkatan 6 bermula sesi akademik 2026 ini merupakan cerminan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga, selain memperkukuh pendidikan peringkat prauniversiti.

Syarat dan Kriteria Kelayakan BAP 2026

Pemberian Bantuan Awal Persekolahan 2026 adalah berdasarkan kriteria berikut:

  • Murid merupakan warganegara Malaysia
  • Murid Tahun 1 hingga Tingkatan 6 atau yang setaraf dengannya bagi sesi persekolahan 2026
  • Murid bersekolah di:
  • Sekolah Kerajaan (SK)
  • Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK)
  • Sekolah Agama
  • Sekolah Swasta Persendirian yang berdaftar dengan kerajaan
  • Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih
  • Sekolah Integriti
  • Sekolah Henry Gurney

Kaedah Penyaluran Bayaran BAP

Bantuan Awal Persekolahan akan disalurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara berperingkat melalui:

  • Akaun Kumpulan Wang Kerajaan (KWK) sekolah; atau
  • Akaun khas Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi sekolah yang tidak mempunyai akaun KWK

Bagi tahun 2026, penyaluran bantuan akan kembali dibuat secara serahan tunai di sekolah melalui program pertemuan antara guru dan ibu bapa.

Pendekatan ini bukan sahaja memastikan penyampaian bantuan lebih berkesan, malah bertujuan untuk mengeratkan hubungan kerjasama antara pihak sekolah, guru, murid dan ibu bapa.

Tarikh Penyaluran Bantuan Awal Persekolahan 2026

Tarikh rasmi penyaluran Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2026 adalah:

  • 11 Januari 2026 (Ahad)

Agihan akan dibuat secara berperingkat oleh pihak sekolah masing-masing.

Borang Bantuan Awal Persekolahan (BAP 2026)

Untuk makluman ibu bapa dan penjaga, tiada borang permohonan diperlukan bagi Bantuan Awal Persekolahan 2026.

Pihak sekolah akan menetapkan kaedah pembayaran kepada setiap murid, dan pemberian BAP adalah automatik kerana semua murid layak tanpa mengambil kira maklumat pendapatan ibu bapa dalam APDM (Aplikasi Pangkalan Data Murid).

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut dan pengesahan rasmi berkaitan Bantuan Awal Persekolahan 2026, anda boleh merujuk saluran berikut:

  • Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia: https://www.moe.gov.my/
  • Facebook Rasmi KPM: https://www.facebook.com/KemPendidikan
  • Instagram Rasmi KPM: https://www.instagram.com/kempendidikan

Anda juga boleh merujuk Surat Pekeliling Kewangan Bilangan 20 Tahun 2020: Bantuan Awal Persekolahan yang boleh dimuat turun melalui laman sesawang rasmi KPM sebagai rujukan tambahan.

Leave a Comment